Ahad, 24 Ogos 2008

Tindakan semasa dan selepas bercuti


KEBIASAANNYA pelajar-pelajar amat gembira semasa tiba cuti persekolahan. Antara sebab yang diberikan ialah tidak perlu pergi ke sekolah serta dapat menggunakan masa untuk rehat. Bagi murid-murid yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau peperiksaan percubaan SPM pada bulan September ini atau peperiksaan PMR pada bulan Oktober ini atau ujian semester atau kuiz bagi mahasiswa dan mahasiswi IPT cuti bukanlah bermakna tidak belajar tetapi hanya tidak ke sekolah sahaja. Namun ada juga di antara sekolah yang mengadakan aktiviti belajar pada masa cuti ini.
Sementara menanti kehadiran peperiksaan, pelajar harus menggunakan masa ini sebijak mungkin untuk mengulang kaji pelajaran. Masa cuti begini memberi ruang yang banyak untuk anda mengulang kaji pelajaran terutamanya bagi topik-topik yang masih ketinggalan. Berikut diberi panduan perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan sewaktu cuti persekolahan ini.
Perkara yang perlu dilakukan:
• Jadual belajar: Anda harus menjadualkan waktu belajar agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan sebarang tindakan yang berguna. Gunakan waktu pagi seawal mungkin atau waktu malam untuk mengulang kaji topik-topik yang memerlukan daya ingatan kerana waktu begini minda kita segar serta diri kita mempunyai tenaga yang banyak. Gunakan masa waktu petang dan juga malam untuk membuat latihan atau perbincangan dengan rakan.
• Latih tubi: Cuba dapatkan pelbagai sumber seperti buku kerja, bahan dari AdaP, soalan peperiksaan, bahan dari internet serta bahan-bahan lain yang sesuai untuk tujuan latih tubi. Anda harus banyak membuat latihan dan membiasakan diri dengan soalan-soalan peperiksaan.
• Perbincangan: Anda juga digalakkan membuat perbincangan kumpulan sama ada di rumah kawan atau di sekolah dengan izin ibu bapa dan guru. Untuk menjadikan perbincangan itu berkesan, berfaedah dan tidak membuang masa, anda harus menetapkan dahulu topik perbincangan.
• Menyertai majlis ilmu. Majlis ilmu seperti kelas tambahan, kem motivasi dan sesi bimbingan boleh disertai untuk menambahkan kemahiran serta meningkatkan aras motivasi diri
Perkara yang harus dielakkan:
• Membuang masa tanpa belajar: Perbuatan seperti berkeliaran di pasaraya atau di kampung-kampung haruslah dielakkan kerana ia tidak memberi faedah. Setiap saat yang digunakan mampu meningkatkan prestasi anda. Sesungguhnya orang yang membuang masa adalah orang yang amat rugi di dunia dan di akhirat.
• Menikmati hiburan keterlaluan: Menonton rancangan TV yang tidak berfaedah, menonton video, melayari internet tanpa tujuan, bermain ”video-game” adalah di antara tindakan yang tidak bijak dan harus dihentikan segara.
• Mengambil cuti panjang: Mengambil cuti panjang untuk makan angin haruslah dielakkan. Perkara ini boleh dilakukan selepas UPSR nanti.Diharapkan cuti selama dua minggu ini dapat digunakan dengan berfaedah serta mampu meningkatkan prestasi diri.
SUDAH pasti pada ketika ini, pelajar-pelajar telah puas bercuti bersama keluarga atau berehat di rumah ketika cuti sekolah atau cuti pertengahan semester IPT . Sekarang tiba masanya untuk kembali ke sekolah atau kolej/IPT menimba ilmu demi masa depan. Mungkin ada juga yang masih tidak bersedia atau masih tercari-cari apakah tindakan yang harus dilakukan. Berikut disediakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan sekembalinya pelajar-pelajar ke musim persekolahan.
• Menyemak semula perkara-perkara atau topik-topik yang bermasalah/tertinggal untuk diulang kaji
Pelajar perlu menyenaraikan semula topik yang bermasalah atau yang tertinggal untuk diulang kaji bersendirian atau mendapat bantuan guru. Ia dapat dilakukan dengan cara perbincangan dengan rakan atau guru di waktu yang terluang.
• Pemahaman pada topik yang bermasalah.
Setelah bertanya pada guru, pelajar seharusnya membuat semula nota dan latihan bagi memastikan pemahaman sepenuhnya. Cara ini dapat mengelakkan daripada anda terus mengalami kesukaran apabila topik baru diperkenalkan nanti. Jika ini berlarutan perasaan bosan akan timbul di jiwa murid-murid.
• Bersedia dengan topik baru
Pelajar perlu mengambil langkah awal dengan belajar dahulu di rumah sebelum pembelajaran berlaku di kelas. Ini dapat memudahkan pemahaman serta mengalakkan murid memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran.
• Membuat jadual harian
Jadual harian membantu pelajar-pelajar merancangan masa dengan bijak. Memandangkan peperiksaan telah hampir tiba, maka anda harus memaksimakan penggunaan masa yang dijadualkan. Oleh itu jadual lama harus digantikan dengan jadual baru yang lebih terarah pada peperiksaan seperti memberi ruang masa yang banyak pada latihan.
• Kata-kata semangat.
Pelajar-pelajar juga boleh menampal kata-kata semangat yang dicipta sendiri seperti “A Idaman Saya”, “Saya Pasti Boleh” “Setiap Usaha Pasti Jaya” dan sebagainya untuk memberi perangsang pada diri kita sendiri dalam proses menempuh peperiksaan. Diharapkan pelajar-pelajar dapat mengamalkan tajuk-tajuk yang telah dibaca di atas. Selamat berjaya!

2 ulasan:

ONNA desu berkata...

rndu gler ah kt cg - trah tan

Bersama Motivator Anda berkata...

emm...kt mana skrg tirah? rindu???? ada makna ke tu?