Rabu, 4 Mei 2011

Kualiti-Kualiti & Jati Diri Pelajar Cemerlang

Kualiti-Kualiti & Jati Diri
Pelajar Cemerlang
(A. B. C. D. E. F. G. H. I.)
Oleh Taidin Suhaimin

Pengenalan
Artikel ini memaparkan 9 sifat, ciri-ciri serta jati diri (keperibadian atau identiti diri) pelajar cemerlang yang diadun berdasarkan Abjad ABCDEFGHI, agar lebih mudah pelajar terapkan dalam diri dan sanubari.

Pelajar Cemerlang
Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kedua-dua kualiti utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang.

Kualiti-kualiti pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Amanah
Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Allah S.W.T..

Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah di Beluran, Sabah sedang mengikuti Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar yang disampaikan oleh Taidin Suhaimin pada 2007.

Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Cergas
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

Dedikasi
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam apa juga perkara yang harus dilaksanakan ke arah dan untuk mencapai hasil yang terbaik.

Elok
Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan.

Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.

Faham
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ianya juga pandai dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.

Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya itu memberikan suntikan motivasi kepadanya berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman
Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T. dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

Sekian. Semoga kita semua sentiasa mendapat keberkatan dari Allah SWT. Insya-Allah.


MOTIVASI, Teknik Belajar dan Strategi Menghadapi PeperiksaanNota: Artikel ini adalah sedutan dari buku Motivasi, Teknik Belajar & Strategi Menghadapi Peperiksaan karangan Taidin Suhaimin. Anda boleh muaturun buku ini dalam bentuk ebuku sepenuhnya dengan harga RM15.00 sahaja

KEJAYAAN

Ada beberapa soalan untuk anda dan saya fikirkan mengenai kejayaan.

1. Adakah kita selalu melihat kejayaan orang lain dan terfikir bilakah kejayaan itu akan menjadi milik kita pula?

2. Adakah kita selalu bersorak, gembira dan bercerita tentang kejayaan orang lain sedangkan kita tidak berbuat sesuatu untuk mencapai kejayaan tersebut itu sendiri?

3. Adakah kita selalu menunggu waktu yang sesuai dan sempurna untuk memulakan usaha mencapai kejayaan?

4. Adakah kita selalu merungut dan mengeluh tentang nasib baik orang lain dan masalah yang sering melanda diri kita?

Soalan terakhir,

5. Apakah yang sanggup kita lakukan agar impian agung kita terus meluncur ke arah destinasi yang kita harap-harapkan?

Nasihat saya kepada diri saya sendiri, jika saya mahu berjaya, berhenti merungut, tentukan impian yang ingin dicapai dan lancarkannya. Lancarkannya dengan bersungguh-sungguh agar ia mampu meluncur laju menuju destinasinya. Bagaimana dengan nasihat anda kepada diri anda sendiri pula?

Ahad, 15 Ogos 2010

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:

1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
1. kita ingat 10 % apayang dibaca
2. kita ingat 20% apa yang didengar
3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....

5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
1. pastikan cahaya adalah terang
2. kurangkan gangguan bunyi
3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
5. kerusi dan meja menghadap kiblat
6. jangan lupa untuk senyum
6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
8. Tahu teknik merangsang memori:
1. memasukkan maklumat dalam memori (registration)
2. menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
3. mengingat kembali (recall)
4. menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
9. Sentiasa awal dan mendahului:
1. persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
2. pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
3. belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
4. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
1. duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
2. memberikan tumpuan sepanuhnya
3. menggunakan jari telunjuk untuk membaca
4. menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
22. Tahu petua mengulang kaji
1. cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
2. siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
3. duduk tegak dikerusi yang selesa
4. baca doa penerang hati
5. baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
6. fikir dan ingat kembali isi utama
7. catat/lakar
8. semak semula ketepatan maklumat
9. ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
10. buat rumusan
11. jawab soalan
12. tampal maklumat yang rumit di dinding
13. baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
1. jangan makan kepala ikan
2. jangan makan organ dalaman
3. jangan minum semasa makan
4. jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
5. jangan melihat kemaluan
6. jangan melihat buih
7. jangan membaca nama pada batu nisan
8. banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
9. banyakkan makan kismis, kurma dan madu
10. banyakkan makan kekacang
11. pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
12. jangan makan sehingga terlalu kenyang
13. jangan kencing berdiri
25. Tahu kemahiran mengingat:
1. tampal nota-nota penting di dinding
2. tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
3. gunakan kaedah akronim
4. reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
5. pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
26. Cekap mengatur jadual belajar:
1. mempunyai jadual belajar
2. patuh kepada jadual
3. buat jadual yang boleh diikuti
27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
32. Pelbagaikan tempat belajar.
33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
1. taat kepada Allah
2. mendirikan sembahyang
3. menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
4. hormati & sayangi guru
5. bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
6. suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
7. membantu rakan yang memerlukan
8. berdoa dan bersyukur kepada Allah
9. sentiasa bertawakal
10. mahir dalam setiap mata pelajaran

Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Dicatat oleh Idris Bin Saleh DARIPADA LAMAN SUMBER : http://www.bmmaya.blogspot.com/

Jumaat, 15 Mei 2009

Semangat Hari Guru

Selamat hari guru buat semua guru di seluruh Malaysia. Semoga tetap cekal dan tabah mengharungi liku-liku perjuangan sebagai guru. Harapan negara kita galas dengan penuh tanggungjawab.

Ahad, 24 Ogos 2008

Tindakan semasa dan selepas bercuti


KEBIASAANNYA pelajar-pelajar amat gembira semasa tiba cuti persekolahan. Antara sebab yang diberikan ialah tidak perlu pergi ke sekolah serta dapat menggunakan masa untuk rehat. Bagi murid-murid yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau peperiksaan percubaan SPM pada bulan September ini atau peperiksaan PMR pada bulan Oktober ini atau ujian semester atau kuiz bagi mahasiswa dan mahasiswi IPT cuti bukanlah bermakna tidak belajar tetapi hanya tidak ke sekolah sahaja. Namun ada juga di antara sekolah yang mengadakan aktiviti belajar pada masa cuti ini.
Sementara menanti kehadiran peperiksaan, pelajar harus menggunakan masa ini sebijak mungkin untuk mengulang kaji pelajaran. Masa cuti begini memberi ruang yang banyak untuk anda mengulang kaji pelajaran terutamanya bagi topik-topik yang masih ketinggalan. Berikut diberi panduan perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan sewaktu cuti persekolahan ini.
Perkara yang perlu dilakukan:
• Jadual belajar: Anda harus menjadualkan waktu belajar agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan sebarang tindakan yang berguna. Gunakan waktu pagi seawal mungkin atau waktu malam untuk mengulang kaji topik-topik yang memerlukan daya ingatan kerana waktu begini minda kita segar serta diri kita mempunyai tenaga yang banyak. Gunakan masa waktu petang dan juga malam untuk membuat latihan atau perbincangan dengan rakan.
• Latih tubi: Cuba dapatkan pelbagai sumber seperti buku kerja, bahan dari AdaP, soalan peperiksaan, bahan dari internet serta bahan-bahan lain yang sesuai untuk tujuan latih tubi. Anda harus banyak membuat latihan dan membiasakan diri dengan soalan-soalan peperiksaan.
• Perbincangan: Anda juga digalakkan membuat perbincangan kumpulan sama ada di rumah kawan atau di sekolah dengan izin ibu bapa dan guru. Untuk menjadikan perbincangan itu berkesan, berfaedah dan tidak membuang masa, anda harus menetapkan dahulu topik perbincangan.
• Menyertai majlis ilmu. Majlis ilmu seperti kelas tambahan, kem motivasi dan sesi bimbingan boleh disertai untuk menambahkan kemahiran serta meningkatkan aras motivasi diri
Perkara yang harus dielakkan:
• Membuang masa tanpa belajar: Perbuatan seperti berkeliaran di pasaraya atau di kampung-kampung haruslah dielakkan kerana ia tidak memberi faedah. Setiap saat yang digunakan mampu meningkatkan prestasi anda. Sesungguhnya orang yang membuang masa adalah orang yang amat rugi di dunia dan di akhirat.
• Menikmati hiburan keterlaluan: Menonton rancangan TV yang tidak berfaedah, menonton video, melayari internet tanpa tujuan, bermain ”video-game” adalah di antara tindakan yang tidak bijak dan harus dihentikan segara.
• Mengambil cuti panjang: Mengambil cuti panjang untuk makan angin haruslah dielakkan. Perkara ini boleh dilakukan selepas UPSR nanti.Diharapkan cuti selama dua minggu ini dapat digunakan dengan berfaedah serta mampu meningkatkan prestasi diri.
SUDAH pasti pada ketika ini, pelajar-pelajar telah puas bercuti bersama keluarga atau berehat di rumah ketika cuti sekolah atau cuti pertengahan semester IPT . Sekarang tiba masanya untuk kembali ke sekolah atau kolej/IPT menimba ilmu demi masa depan. Mungkin ada juga yang masih tidak bersedia atau masih tercari-cari apakah tindakan yang harus dilakukan. Berikut disediakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan sekembalinya pelajar-pelajar ke musim persekolahan.
• Menyemak semula perkara-perkara atau topik-topik yang bermasalah/tertinggal untuk diulang kaji
Pelajar perlu menyenaraikan semula topik yang bermasalah atau yang tertinggal untuk diulang kaji bersendirian atau mendapat bantuan guru. Ia dapat dilakukan dengan cara perbincangan dengan rakan atau guru di waktu yang terluang.
• Pemahaman pada topik yang bermasalah.
Setelah bertanya pada guru, pelajar seharusnya membuat semula nota dan latihan bagi memastikan pemahaman sepenuhnya. Cara ini dapat mengelakkan daripada anda terus mengalami kesukaran apabila topik baru diperkenalkan nanti. Jika ini berlarutan perasaan bosan akan timbul di jiwa murid-murid.
• Bersedia dengan topik baru
Pelajar perlu mengambil langkah awal dengan belajar dahulu di rumah sebelum pembelajaran berlaku di kelas. Ini dapat memudahkan pemahaman serta mengalakkan murid memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran.
• Membuat jadual harian
Jadual harian membantu pelajar-pelajar merancangan masa dengan bijak. Memandangkan peperiksaan telah hampir tiba, maka anda harus memaksimakan penggunaan masa yang dijadualkan. Oleh itu jadual lama harus digantikan dengan jadual baru yang lebih terarah pada peperiksaan seperti memberi ruang masa yang banyak pada latihan.
• Kata-kata semangat.
Pelajar-pelajar juga boleh menampal kata-kata semangat yang dicipta sendiri seperti “A Idaman Saya”, “Saya Pasti Boleh” “Setiap Usaha Pasti Jaya” dan sebagainya untuk memberi perangsang pada diri kita sendiri dalam proses menempuh peperiksaan. Diharapkan pelajar-pelajar dapat mengamalkan tajuk-tajuk yang telah dibaca di atas. Selamat berjaya!

Genggam bara api biar sampai jadi arang

GENGGAM bara apa biar sampai jadi arang begitulah bunyinya perumpamaan melayu yang membawa maksud sesuatu tugas yang dilakukan itu biarlah berhasil walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.
Menggenggam bara api memerlukan semangat, ketabahan serta jati diri. Kesakitan pasti dirasa tetapi hanya buat sementara. Apabila ianya dapat diatasi, maka arang yang terhasil dari bara api itu amat diperlukan untuk dijadikan sebagai bahan bakar.
Kepayahan, kesukaran dan ketidakselesaan dalam proses menuntut ilmu adalah lumrah alam malah ada hikmah di sebaliknya. Keperitan yang dilalui melalui pengalaman sendiri mengajar kita mengenal kehidupan serta menjadikan kita lebih matang serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Apabila kesedaran tentang tanggungjawab itu lahir di jiwa kita, maka diri kita lebih berdisiplin. Disiplin adalah faktor yang penting menentukan tindakan dan amalan seseorang itu. Pelajar yang berdisiplin mudah belajar, mudah membuat kerja tanpa disuruh atau dipaksa serta mudah menyelesaikan sebarang masalah dalam pelajaran.
Pelajar yang tidak berdisiplin gagal mengawal tindakan dan amalan. Pelajar seumpama ini gagal merancang jadual belajar, gagal mengawal nafsu dan perasaan serta mudah berputusa asa. Mereka ini tidak sanggup bersusah payah. Semuanya inginkan keselesaan, inginkan kemudahan, inginkan kejayaan tanpa berusaha mendapatkannya. Pelajar seumpama ini kebiasaannya tidak akan berjaya mendapt prestasi yang baik dalam peperiksaan.
Oleh itu dalam jangka masa yang terdekat sebelum murid-murid menjejak kaki ke dewan peperiksaan, pastikan anda sanggup menghadapi segala bentuk kesukaran dalam proses mengulang kaji pelajaran.
Anda perlu bersusah payah mencari bahan, menghafal fomula atau sifir, membuat latihan atau berbincang dengan guru. Gunakan sepenuh tenaga anda untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan. Setelah enam tahun anda menunggu ketibaan peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM, STPM atau peringkat IPT, kini dalam sekelip mata sahaja masanya akan tiba. Ayuh! gabungkan tenaga, gunakan minda, cekalkan semangat di dada dan anda sedang menuju apa yang dicita-cita!

TIP HARI INI: Kepakaran & kemahiran tidak mencukupi

Sekiranya anda mempunyai kepakaran dan kemahiran tetapi anda tidak mempunyai kemahuan dan disiplin untuk mengasahkan kepakaran tersebut dan memasarkannya, kepakaran dan kemahirantersebut tidak akan dapat membantu dalam menambahkan pendapatan anda. Sering saya beri contoh di Workshop Jutawan Interenet bahawa, saya ni bukannya hebat sangat dalam merekacipta (designing). Lagi ramai muda-mudi di Malaysia yang lagi hebat dari saya dalam bidang designing. Bagaimanapun saya mempunyai ilmu dalam memasarkan reka cipta saya. Lihat sahaja penyanyi seperti Mawi. Adakah tiada penyayi lain yang lagi baik daripadanya? Sudah tentu ada, tetapi, pihak ASTRO mempunyai pengetahuan & strategi dalam memasarkan Mawi. Bagaimana pula dengan pelakon terkenal Rosyam Nor. Adakah tiada pelakon lain lebih hebat dari Rosyam? Mungkin, ada... tetapi hanya duduk di rumah dan tidak memasarkan kemahiran lakonannya. Mempunyai kepakaran dan kemahiran sahaja tidak mencukupi. Anda perlu tahu cara untuk memasarkan kepakaran & kemahiran anda. Dalami ilmu pemasaran supaya kepakaran dan kemahiran anda dapat memberi pulangan tertinggi kepada diri anda. Satu cara dalam mempelajari kaedah memasarkan kemahiran dankepakaran anda adalah dengan banyak membaca buku biografi ikon-ikon yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk mempelajari bagaimana mereka memasarkan kepakaran & kemahiran mereka!