Rabu, 13 Ogos 2008

Usaha Kita

Emmm...kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya...begitulah pepatah Melayu sejak berzaman yang diperturunkan kepada kita. Kalau dihayati betul-betul pepatah itu kita tentu mendapat manfaatnya. Apa-apapun...yang penting usaha kita yang berkehendakkan sesuatu mestilah bersifat luar biasa. Kalau setakat acuh tak acuh atau melepas batuk di tangga sahaja baik jangan lakukan kerja atau jangan ambil tanggungjawab yang dihulur. Walau bagaimanapun, kita mesti sentiasa memastikan usaha yang kita lakukan membuahkan hasil yang memberangsangkan dan memenuhi impian kita. Jangan kerap hampakan harapan orang lain. Amanah yang diberikan merupakan satu kepercayaan yang tinggi diberikan oleh mereka kepada kita. Jadi, balas kepercayaan itu dengan sesuatu yang bermakna. Keputusan mestilah cemerlang dan membanggakan.
Bagaimana?
Hah...usaha yang dibuat mestilah mengikut perancangan yang teliti. Jika tidak habislah....Biar penat tetapi berbaloi... Rancang dahulu apa yang kita hendak lakukan. Rancang semuanya. Rancang rangka kerja, rancang jadual kerja, rancang tenaga kerja. Jika selesai menyusun perancangan itu dengan rapi maka lakukan kerja tersebut mengikut aturan yang sudah dibuat. Jangan cari jalan pintas untuk cepat siapkan kerja. Bahaya!
Kerja mestilah dilakukan secara berkumpulan. Walaupun banyak orang banyak ragam, tetapi jika semua bersikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing pasti kerjanya berkualiti dan dapat disiapkan dalam tempoh yang dirancang. Jadi, carilah rakan kerja yang betul-betul dapat membentuk kumpulan yang satu aliran, satu sefahaman. Oleh itu, kenali rakan anda...biar ramai kawan tetapi rakan yang betul-betul sefahaman sukar dicari.
Jadi, berusahalah kerana usaha itu tangga kejayaan....Jumpa lagi!!

Tiada ulasan: