Ahad, 17 Ogos 2008

Kesabaran mengundang kejayaan dan Jangan ikut hati

RAMAI pelajar sudah tidak sabar lagi menunggu menjelangnya hari peperiksaan. Ramai juga yang merasakan diri mereka ini ”terkurung” atau ”terikat” kerana tidak dapat bertindak atau melakukan perkara-perkara yang mereka minati seperti menonton televisyen (TV), mendengar lagu atau bersantai dengan rakan-rakan.
Sememangnya tindakan seperti di atas sepatutnya dihindari agar para pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan. Oleh itu kesabaran amat diperlukan agar diri kita terkawal serta mampu memfokus perhatian kita sepenuhnya ke arah pembelajaran.
Dalam proses mengawal diri inilah para pelajar akan terasa begitu perit untuk melaluinya. Para pelajar akan berasa seolah-olah mengalami satu kerugian yang besar apabila rancangan TV yang diminati itu tidak dapat ditonton, atau laman-laman web bercorak hiburan tidak dapat dilayari. Pengalaman begini adalah satu perkara biasa terutamanya menjelangnya peperiksaan.
Sebenarnya keinginan seumpama ini adalah keinginan hasil daripada desakan hati yang tidak mampu menerima cabaran. Apabila disebut cabaran bermakna situasi atau kesukaran yang menguji diri dan tindakan kita untuk membuat sesuatu yang menguntungkan ke arah penyelesaian.
Individu yang sanggup menerima cabaran adalah mereka yang sanggup menahan hawa nafsu dalam usaha menentukan tindakan atau bertindak balas secara rasional. Mereka mengamalkan budaya murni ini dengan membuat perancangan yang rapi agar masa yang terluang ini tidak disalahgunakan atau dibiarkan berlalu dengan sia-sia sahaja.
Oleh itu, para pelajar sewajarnya mengambil langkah yang positif dalam proses mengimbangi diri kita sepanjang masa. Sebagai contoh, pelajar-pelajar harus memenuhi masa lapang anda dengan tindakan yang menjurus ke arah persiapan menghadapi peperiksaan. Aktiviti-aktiviti santai atau yang seumpamanya, harus dihentikan secara sukarela tanpa dipaksa. Kesedaran inilah yang menjadi satu cabaran buat diri anda.
Seperit mana sekalipun cabaran yang sedang dan akan anda lalui, namun berkat kesabaran, kesungguhan dan kegigihan anda itulah yang menjanjikan kejayaan. Kejayaan tidak datang bergolek tetapi kita harus berusaha dan usaha itu tidak akan menghampakan anda. Setiap usaha pasti akan berjaya.Akhirnya pelajar-pelajar haruslah banyak bersabar serta laluilah segala cabaran dengan semangat yang kuat, hati yang cekal dan harapan yang tinggi.

"Kalaulah diikutkan hati, saya tak mau bersusah payah, kalau boleh semua kesenangan ingin saya miliki tanpa melalui pelbagai cabaran.” Begitulah agaknya antara keluhan yang mungkin dicurahkan jika diikutkan hati. Tetapi awas! jangan ikutkan hati, kelak merana diri.
Sebenarnya ungkapan ”jangan ikut hati” membawa maksud kita tidak harus melayan kehendak atau nafsu yang mendorong kita ke arah tindakan yang merugikan diri sendiri. Sebaliknya kita harus mengawal diri supaya setiap langkah yang diambil benar-benar memberi faedah serta berketepatan dengan peraturan yang sedia ada. Malah jika cetusan kehendak itu lahir dari hati yang suci, maka kehendak tersebut perlulah dilayan.
Sebagai contoh jika kita berkehendakkan kejayaan dan berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh maka kehendak tersebut perlu dipenuhi segera dengan mengatur langkah serta menyusun perancangan agar ia dapat dijelmakan dalam bentuk tindakan yang sihat.
Di saat-saat menjelangnya peperiksaan sudah tentu terdapat beberapa kehendak yang harus dihindari seperti:
Membuang masa: Kita memang suka membuang masa. Adalah amat menyeronokkan jika kita dapat bersembang-sembang, bergelak ketawa serta bergurau senda bersama rakan-rakan. Perbuatan begini harus dihindari kerana masa berjalan terlalu pantas. Setiap saat yang kita lalui akan memendekkan masa penantian kita untuk berhadapan dengan peperiksaan.
Leka dengan hiburan: Sememangnya jika diikutkan hati kita inginkan hiburan seperti mendengar radio, mendengar MP3, menonton TV, Video, bermain alat playstation dan sebagainya. Hiburan seumpama ini bukan sahaja merugikan masa tetapi juga melekakan kita daripada mengulang kaji. Sementara itu pelbagai bentuk hiburan yang kita lalui itu akan mengganggu fikiran dan mengurangkan fokus ketika belajar.
Ponteng sekolah: Walaupun sukatan pelajaran telah lengkap dipelajari tetapi ini bukan bermakna kita boleh ponteng sekolah. Banyak lagi perkara-perkara yang harus kita selesaikan di sekolah termasuk mengulang kaji, membuat latihan tambahan, berbincang dengan rakan dan guru serta membuat rujukan di pusat sumber.Menyedari hakikat bahawa kita perlu menggunakan masa sepenuhnya menjelang peperiksaan ini, maka janganlah kita ikutkan hati ke arah melakukan tindakan yang sia-sia dan bertentangan ajaran agama.

Tiada ulasan: