Rabu, 30 Julai 2008

Mengapa Tidak Bersemangat?

Belakangan ini terlalu banyak masalah yang berlaku dalam lingkungan hidup kita. Saban hari ada sahaja perkara yang merumitkan hidup. Soal harga minyak naik mendadak. Masalah kekurangan bekalan makanan dunia. Isu pencairan ais di kutub hingga mengakibatkan berlaku peningkatan suhu dan peningkatan paras air laut secara mendadak di seluruh dunia. Bahkan, banyak lagi permasalahan yang saling bersangkutan dengan kita berlaku belakangan ini hingga kita menjadi tidak bermotivasi atau setidaknya motivasi diri kita merosot juga secara mendadak.
Apa harus kita buat? Perlukah kita membiarkan saja keadaan itu berlanjutan begitu sahaja tanpa ditangani? Bolehkah kita selesaikannya sendirian? Atau ada yang sudi membantu atau mereka sebenarnya mahu mengambil kesempatan daripada kesempitan hidup kita saat ini?
Para pembaca yang budiman,
Kita mesti keluar daripada kepompong permasalahan yang ada dengan seberapa segera yang boleh. Jangan biarkan keadaan itu berlanjutan. Kembalikan semula keceriaan dan kebahagiaan hidup kita agar kita dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan cara yang terbaik. Semua orang di sekeliling kita juga pasti akan lebih ceria dan bahagia. Bagaimana?
Kita sebenarnya sudah maklum bahawa hidup kita bergantung kepada ketentuan Maha Esa. Semua yang berlaku berlandaskan Qada dan QadarNya. Jadi, mengapa harus bersedih dan bermuram durja hingga merudumkan semangat kita. Tetapkan pendirian dan patuhlah kepada suruhanNya. Kita pasti bahagia dan selamat. Setiap saat ingat kepadaNya. Biar Dia laksanakan tugasnya dan kita usahakan sesuatu sedaya yang mungkin berlandaskan kudrat yang ada.
Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Mengetahui akan segalanya. Redhalah dengan semua perkara yang berlaku dalam hidup kita. Bagaimanapun kita mesti teruskan usaha tanpa jemu. Kalau sebelum ini kita hanya gunakan sekali ganda sahaja tenaga yang ada...sekarang lipat gandakan lagi usaha agar lebih bertenaga. Memang kita hanya manusia biasa tetapi kita boleh berjaya dengan berusaha secara luar biasa. Dia sudah menjanjikannya. Dia akan berikan sesuatu setimpal dengan usaha kita. Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang kalau tidak dipecahkan ruyungnya. Jadi, kalau kita mahukan sagunya berusahalah....berusahalah...berusahalah hingga berjaya....

Tiada ulasan: