Ahad, 24 Ogos 2008

Tindakan semasa dan selepas bercuti


KEBIASAANNYA pelajar-pelajar amat gembira semasa tiba cuti persekolahan. Antara sebab yang diberikan ialah tidak perlu pergi ke sekolah serta dapat menggunakan masa untuk rehat. Bagi murid-murid yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau peperiksaan percubaan SPM pada bulan September ini atau peperiksaan PMR pada bulan Oktober ini atau ujian semester atau kuiz bagi mahasiswa dan mahasiswi IPT cuti bukanlah bermakna tidak belajar tetapi hanya tidak ke sekolah sahaja. Namun ada juga di antara sekolah yang mengadakan aktiviti belajar pada masa cuti ini.
Sementara menanti kehadiran peperiksaan, pelajar harus menggunakan masa ini sebijak mungkin untuk mengulang kaji pelajaran. Masa cuti begini memberi ruang yang banyak untuk anda mengulang kaji pelajaran terutamanya bagi topik-topik yang masih ketinggalan. Berikut diberi panduan perkara yang perlu dan tidak perlu dilakukan sewaktu cuti persekolahan ini.
Perkara yang perlu dilakukan:
• Jadual belajar: Anda harus menjadualkan waktu belajar agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan sebarang tindakan yang berguna. Gunakan waktu pagi seawal mungkin atau waktu malam untuk mengulang kaji topik-topik yang memerlukan daya ingatan kerana waktu begini minda kita segar serta diri kita mempunyai tenaga yang banyak. Gunakan masa waktu petang dan juga malam untuk membuat latihan atau perbincangan dengan rakan.
• Latih tubi: Cuba dapatkan pelbagai sumber seperti buku kerja, bahan dari AdaP, soalan peperiksaan, bahan dari internet serta bahan-bahan lain yang sesuai untuk tujuan latih tubi. Anda harus banyak membuat latihan dan membiasakan diri dengan soalan-soalan peperiksaan.
• Perbincangan: Anda juga digalakkan membuat perbincangan kumpulan sama ada di rumah kawan atau di sekolah dengan izin ibu bapa dan guru. Untuk menjadikan perbincangan itu berkesan, berfaedah dan tidak membuang masa, anda harus menetapkan dahulu topik perbincangan.
• Menyertai majlis ilmu. Majlis ilmu seperti kelas tambahan, kem motivasi dan sesi bimbingan boleh disertai untuk menambahkan kemahiran serta meningkatkan aras motivasi diri
Perkara yang harus dielakkan:
• Membuang masa tanpa belajar: Perbuatan seperti berkeliaran di pasaraya atau di kampung-kampung haruslah dielakkan kerana ia tidak memberi faedah. Setiap saat yang digunakan mampu meningkatkan prestasi anda. Sesungguhnya orang yang membuang masa adalah orang yang amat rugi di dunia dan di akhirat.
• Menikmati hiburan keterlaluan: Menonton rancangan TV yang tidak berfaedah, menonton video, melayari internet tanpa tujuan, bermain ”video-game” adalah di antara tindakan yang tidak bijak dan harus dihentikan segara.
• Mengambil cuti panjang: Mengambil cuti panjang untuk makan angin haruslah dielakkan. Perkara ini boleh dilakukan selepas UPSR nanti.Diharapkan cuti selama dua minggu ini dapat digunakan dengan berfaedah serta mampu meningkatkan prestasi diri.
SUDAH pasti pada ketika ini, pelajar-pelajar telah puas bercuti bersama keluarga atau berehat di rumah ketika cuti sekolah atau cuti pertengahan semester IPT . Sekarang tiba masanya untuk kembali ke sekolah atau kolej/IPT menimba ilmu demi masa depan. Mungkin ada juga yang masih tidak bersedia atau masih tercari-cari apakah tindakan yang harus dilakukan. Berikut disediakan beberapa tindakan yang perlu dilakukan sekembalinya pelajar-pelajar ke musim persekolahan.
• Menyemak semula perkara-perkara atau topik-topik yang bermasalah/tertinggal untuk diulang kaji
Pelajar perlu menyenaraikan semula topik yang bermasalah atau yang tertinggal untuk diulang kaji bersendirian atau mendapat bantuan guru. Ia dapat dilakukan dengan cara perbincangan dengan rakan atau guru di waktu yang terluang.
• Pemahaman pada topik yang bermasalah.
Setelah bertanya pada guru, pelajar seharusnya membuat semula nota dan latihan bagi memastikan pemahaman sepenuhnya. Cara ini dapat mengelakkan daripada anda terus mengalami kesukaran apabila topik baru diperkenalkan nanti. Jika ini berlarutan perasaan bosan akan timbul di jiwa murid-murid.
• Bersedia dengan topik baru
Pelajar perlu mengambil langkah awal dengan belajar dahulu di rumah sebelum pembelajaran berlaku di kelas. Ini dapat memudahkan pemahaman serta mengalakkan murid memberi tumpuan terhadap proses pembelajaran.
• Membuat jadual harian
Jadual harian membantu pelajar-pelajar merancangan masa dengan bijak. Memandangkan peperiksaan telah hampir tiba, maka anda harus memaksimakan penggunaan masa yang dijadualkan. Oleh itu jadual lama harus digantikan dengan jadual baru yang lebih terarah pada peperiksaan seperti memberi ruang masa yang banyak pada latihan.
• Kata-kata semangat.
Pelajar-pelajar juga boleh menampal kata-kata semangat yang dicipta sendiri seperti “A Idaman Saya”, “Saya Pasti Boleh” “Setiap Usaha Pasti Jaya” dan sebagainya untuk memberi perangsang pada diri kita sendiri dalam proses menempuh peperiksaan. Diharapkan pelajar-pelajar dapat mengamalkan tajuk-tajuk yang telah dibaca di atas. Selamat berjaya!

Genggam bara api biar sampai jadi arang

GENGGAM bara apa biar sampai jadi arang begitulah bunyinya perumpamaan melayu yang membawa maksud sesuatu tugas yang dilakukan itu biarlah berhasil walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.
Menggenggam bara api memerlukan semangat, ketabahan serta jati diri. Kesakitan pasti dirasa tetapi hanya buat sementara. Apabila ianya dapat diatasi, maka arang yang terhasil dari bara api itu amat diperlukan untuk dijadikan sebagai bahan bakar.
Kepayahan, kesukaran dan ketidakselesaan dalam proses menuntut ilmu adalah lumrah alam malah ada hikmah di sebaliknya. Keperitan yang dilalui melalui pengalaman sendiri mengajar kita mengenal kehidupan serta menjadikan kita lebih matang serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Apabila kesedaran tentang tanggungjawab itu lahir di jiwa kita, maka diri kita lebih berdisiplin. Disiplin adalah faktor yang penting menentukan tindakan dan amalan seseorang itu. Pelajar yang berdisiplin mudah belajar, mudah membuat kerja tanpa disuruh atau dipaksa serta mudah menyelesaikan sebarang masalah dalam pelajaran.
Pelajar yang tidak berdisiplin gagal mengawal tindakan dan amalan. Pelajar seumpama ini gagal merancang jadual belajar, gagal mengawal nafsu dan perasaan serta mudah berputusa asa. Mereka ini tidak sanggup bersusah payah. Semuanya inginkan keselesaan, inginkan kemudahan, inginkan kejayaan tanpa berusaha mendapatkannya. Pelajar seumpama ini kebiasaannya tidak akan berjaya mendapt prestasi yang baik dalam peperiksaan.
Oleh itu dalam jangka masa yang terdekat sebelum murid-murid menjejak kaki ke dewan peperiksaan, pastikan anda sanggup menghadapi segala bentuk kesukaran dalam proses mengulang kaji pelajaran.
Anda perlu bersusah payah mencari bahan, menghafal fomula atau sifir, membuat latihan atau berbincang dengan guru. Gunakan sepenuh tenaga anda untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan. Setelah enam tahun anda menunggu ketibaan peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM, STPM atau peringkat IPT, kini dalam sekelip mata sahaja masanya akan tiba. Ayuh! gabungkan tenaga, gunakan minda, cekalkan semangat di dada dan anda sedang menuju apa yang dicita-cita!

TIP HARI INI: Kepakaran & kemahiran tidak mencukupi

Sekiranya anda mempunyai kepakaran dan kemahiran tetapi anda tidak mempunyai kemahuan dan disiplin untuk mengasahkan kepakaran tersebut dan memasarkannya, kepakaran dan kemahirantersebut tidak akan dapat membantu dalam menambahkan pendapatan anda. Sering saya beri contoh di Workshop Jutawan Interenet bahawa, saya ni bukannya hebat sangat dalam merekacipta (designing). Lagi ramai muda-mudi di Malaysia yang lagi hebat dari saya dalam bidang designing. Bagaimanapun saya mempunyai ilmu dalam memasarkan reka cipta saya. Lihat sahaja penyanyi seperti Mawi. Adakah tiada penyayi lain yang lagi baik daripadanya? Sudah tentu ada, tetapi, pihak ASTRO mempunyai pengetahuan & strategi dalam memasarkan Mawi. Bagaimana pula dengan pelakon terkenal Rosyam Nor. Adakah tiada pelakon lain lebih hebat dari Rosyam? Mungkin, ada... tetapi hanya duduk di rumah dan tidak memasarkan kemahiran lakonannya. Mempunyai kepakaran dan kemahiran sahaja tidak mencukupi. Anda perlu tahu cara untuk memasarkan kepakaran & kemahiran anda. Dalami ilmu pemasaran supaya kepakaran dan kemahiran anda dapat memberi pulangan tertinggi kepada diri anda. Satu cara dalam mempelajari kaedah memasarkan kemahiran dankepakaran anda adalah dengan banyak membaca buku biografi ikon-ikon yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk mempelajari bagaimana mereka memasarkan kepakaran & kemahiran mereka!

MENGAPA TAKUT ANDA GAGAL?

Kegagalan jarang sekali ditekankan dalam motivasi, walhal, terdapat lebih ramai mereka yang gagal berbanding dengan mereka yang berjaya! Namun begitu, tahukah anda, 98% daripada self-made millionaires hari ini pernah gagal? Ya! Kegagalan adalah sebahagian daripada kejayaan.

Pernah saya sebutkan bahawa, punca utama seseorang tidak mencapai kejayaan adalah kerana TAKUT KEPADA KEGAGALAN. Fahami betul-betul ayat saya di atas. "Takut kepada kegagalan" adalah sebab utama seseorang tidak mencapai kejayaan. Bukannya "Gagal adalah punca utama tidak mencapai kejayaan" Apabila anda takut kepada kegagalan, anda akan menghalang diri anda mengambil langkah pertama. Langkah utama dalam mencapai apa-apa kejayaan. Sekiranya anda berada dalam keadaan "Takut kepada kegagalan" ketahui bahawa itu adalah benteng utama anda.

Bagaimana hendak melepasi benteng tersebut? Ikut kata-kata NIKE, just do it! Kalau nak DUIT, anda perlu DO-IT! Terlalu banyak kisah-kisah kegagalan mereka yang berjaya boleh dikongsikan. Antara kegemaran saya adalah kisah seorang pemain
baseball di Amerika Syarikat pada tahun 70-an. Namanya adalah Babe Ruth. Ketika itu beliau merupakan pemain yang paling banyak sekali membuat home-run (larian dengan markah tertinggi di dalam baseball) ketika itu. Tiada siapa boleh menandingi rekod Babe Ruth yang membuat home-run. Namun begitu, Babe Ruth juga merupakan pemain base-ball yang paling banyak sekali struck-out (terpaksa keluar oleh kerana pukulan tidak mengena bola!)- lebih daripada 1,300 kali! Setiap kali Babe Ruth tidak mengena bola, beliau akan senyum sahaja. Apabila ditanya wartawan sukan kepada Babe Ruth, mengapa beliau senyum setiap kali tidak mengena bola, jawabnya "Setiap kali hayunan saya gagal mengena bola, ia bermakna makin hampir hayunan saya akan mengena bola dan akan mendapat home-run untuk pasukan saya tidak lama lagi!"

Pemikiran Babe Ruth adalah, lagi banyak kali beliau mencuba walaupun gagal, lagi hampir dirinya akan mencapai kejayaan dalam
mendapatkan home-run! Fikiran beginilah yang perlu ada oleh semua dalam mencapai kejayaan. Kegagalan bukan bererti anda yang gagal secara peribadi, tetapi, ia bermaksud makin hampir anda akan mencapai kejayaan.

Fikirkan kisah-kisah ini pula:

-Genius Albert Einstein, hanya boleh bercakap apabila umurnya 4
tahun!

-Saintis Isaac Newton sering gagal ketika sekolah dan diberi
gelaran oleh guru-guru sebagai murid yang "tiada harapan"!

-F.W Woolworth ketika berumur 21 tahun bekerja dikedai runcit
sering dimarahi oleh pemilik kedai sebagai "seorang yang tidak
pandai menjual!". Kini, Woolworth adalah antara rangkaian pasaraya
terbesar di United Kingdom!

-Pengasas Disneyland, Mr Walt Disney ketika bekerja di syarikat
akhbar pernah dimarahi oleh editornya oleh kerana "Tidak mempunyai
imaginasi dan tidak pernah mempunyai idea yang bernas"!

-Michael Jordan, pemain basketball terulung pernah dikeluarkan
dari pasukan basketball ketika di sekolah menengah!

-Thomas Edison, pencipta lampu mentol pula ketika sekolah sering
dimarahi oleh gurunya dengan "Seorang murid yang terlalu bodoh
untuk pelajari apa sahaja"! Tidak habis lagi kisah Thomas Edison, tahukah anda Thomas Edison juga gagal dalam lebih 1,000 eksperimen dalam mencipta lampu mentol sebelum menjumpa formula sebenar cara menyalakan lampu mentol!

Adakah ikon-ikon di atas pernah mengalah dan berhenti daripada melakukan apa yang mereka percaya? Sudah tentunya tidak. Kegagalan adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh setiap insan dalam mencapai kejayaan. Apa yang membezakan mereka yang berjaya kini dan mereka yang tidak adalah, mereka yang berjaya melihat kegagalan sebagai peluang untuk belajar supaya kegagalan tersebut tidak diulangi. Apabila jatuh, mereka akan bangun semula!

Khamis, 21 Ogos 2008

Kenapa tiba-tiba semangat menurun?

Ada orang kata, semangat kita seperti yoyo yang bertali. Sekejap boleh di atas dan sekejap boleh di bawah. Semuanya mengikut rentak pemain yoyo. Gaya dan gelagat pemain mempengaruhi rentak pergerakan yoyo. Begitu juga semangat. Kalau tidak dipupuk dan disemai setiap masa ia akan merosot dan bboleh menurun secara mendadak. Mengapa?

Hal ini disebabkan oleh banyak faktor. Antara faktor besar yang boleh mempengaruhi peningkatan dan penurunan semangat seseorang ialah keluarga, rakan-rakan, masyarakat, suasana sekitar, sosio ekonomi dan sebagainya. Faktor keluarga berkait rapat dengan hubungan kekeluargaan yang dibina oleh ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika hubungan itu tidak harmoni, selalu berantakan maka hal itu boleh mendatangkan pengaruh yang kuat kepada ahli yang lain. Begitu juga dengan faktor rakan-rakan. Ada orang suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Hal ini boleh dikaitkan dengan sikap tidak suka memilih bulu. Ada orang terlalu memilih rakan. Ada orang terlalu berhati-hati bila berkawan. Bagaimanapun semua itu mempunyai impak yang besar kepada diri kita. Silap langkah kita menjebakkan diri ke dalam kancah yang merosakkan.

Oleh itu, kita mesti sentiasa berhati-hati ketika memutuskan untuk berbuat sesuatu. jangan sampai keputusan dan tindakan kita boleh menjejaskan semangat dan masa depan kita, khasnya. Pupuklah semangat yang memuncak dalam diri kita agar tidak menurun secara tiba-tiba. Teruskan usaha anda hingga berjaya. Jumpa lagi.

Ahad, 17 Ogos 2008

Kesabaran mengundang kejayaan dan Jangan ikut hati

RAMAI pelajar sudah tidak sabar lagi menunggu menjelangnya hari peperiksaan. Ramai juga yang merasakan diri mereka ini ”terkurung” atau ”terikat” kerana tidak dapat bertindak atau melakukan perkara-perkara yang mereka minati seperti menonton televisyen (TV), mendengar lagu atau bersantai dengan rakan-rakan.
Sememangnya tindakan seperti di atas sepatutnya dihindari agar para pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan. Oleh itu kesabaran amat diperlukan agar diri kita terkawal serta mampu memfokus perhatian kita sepenuhnya ke arah pembelajaran.
Dalam proses mengawal diri inilah para pelajar akan terasa begitu perit untuk melaluinya. Para pelajar akan berasa seolah-olah mengalami satu kerugian yang besar apabila rancangan TV yang diminati itu tidak dapat ditonton, atau laman-laman web bercorak hiburan tidak dapat dilayari. Pengalaman begini adalah satu perkara biasa terutamanya menjelangnya peperiksaan.
Sebenarnya keinginan seumpama ini adalah keinginan hasil daripada desakan hati yang tidak mampu menerima cabaran. Apabila disebut cabaran bermakna situasi atau kesukaran yang menguji diri dan tindakan kita untuk membuat sesuatu yang menguntungkan ke arah penyelesaian.
Individu yang sanggup menerima cabaran adalah mereka yang sanggup menahan hawa nafsu dalam usaha menentukan tindakan atau bertindak balas secara rasional. Mereka mengamalkan budaya murni ini dengan membuat perancangan yang rapi agar masa yang terluang ini tidak disalahgunakan atau dibiarkan berlalu dengan sia-sia sahaja.
Oleh itu, para pelajar sewajarnya mengambil langkah yang positif dalam proses mengimbangi diri kita sepanjang masa. Sebagai contoh, pelajar-pelajar harus memenuhi masa lapang anda dengan tindakan yang menjurus ke arah persiapan menghadapi peperiksaan. Aktiviti-aktiviti santai atau yang seumpamanya, harus dihentikan secara sukarela tanpa dipaksa. Kesedaran inilah yang menjadi satu cabaran buat diri anda.
Seperit mana sekalipun cabaran yang sedang dan akan anda lalui, namun berkat kesabaran, kesungguhan dan kegigihan anda itulah yang menjanjikan kejayaan. Kejayaan tidak datang bergolek tetapi kita harus berusaha dan usaha itu tidak akan menghampakan anda. Setiap usaha pasti akan berjaya.Akhirnya pelajar-pelajar haruslah banyak bersabar serta laluilah segala cabaran dengan semangat yang kuat, hati yang cekal dan harapan yang tinggi.

"Kalaulah diikutkan hati, saya tak mau bersusah payah, kalau boleh semua kesenangan ingin saya miliki tanpa melalui pelbagai cabaran.” Begitulah agaknya antara keluhan yang mungkin dicurahkan jika diikutkan hati. Tetapi awas! jangan ikutkan hati, kelak merana diri.
Sebenarnya ungkapan ”jangan ikut hati” membawa maksud kita tidak harus melayan kehendak atau nafsu yang mendorong kita ke arah tindakan yang merugikan diri sendiri. Sebaliknya kita harus mengawal diri supaya setiap langkah yang diambil benar-benar memberi faedah serta berketepatan dengan peraturan yang sedia ada. Malah jika cetusan kehendak itu lahir dari hati yang suci, maka kehendak tersebut perlulah dilayan.
Sebagai contoh jika kita berkehendakkan kejayaan dan berazam untuk berusaha bersungguh-sungguh maka kehendak tersebut perlu dipenuhi segera dengan mengatur langkah serta menyusun perancangan agar ia dapat dijelmakan dalam bentuk tindakan yang sihat.
Di saat-saat menjelangnya peperiksaan sudah tentu terdapat beberapa kehendak yang harus dihindari seperti:
Membuang masa: Kita memang suka membuang masa. Adalah amat menyeronokkan jika kita dapat bersembang-sembang, bergelak ketawa serta bergurau senda bersama rakan-rakan. Perbuatan begini harus dihindari kerana masa berjalan terlalu pantas. Setiap saat yang kita lalui akan memendekkan masa penantian kita untuk berhadapan dengan peperiksaan.
Leka dengan hiburan: Sememangnya jika diikutkan hati kita inginkan hiburan seperti mendengar radio, mendengar MP3, menonton TV, Video, bermain alat playstation dan sebagainya. Hiburan seumpama ini bukan sahaja merugikan masa tetapi juga melekakan kita daripada mengulang kaji. Sementara itu pelbagai bentuk hiburan yang kita lalui itu akan mengganggu fikiran dan mengurangkan fokus ketika belajar.
Ponteng sekolah: Walaupun sukatan pelajaran telah lengkap dipelajari tetapi ini bukan bermakna kita boleh ponteng sekolah. Banyak lagi perkara-perkara yang harus kita selesaikan di sekolah termasuk mengulang kaji, membuat latihan tambahan, berbincang dengan rakan dan guru serta membuat rujukan di pusat sumber.Menyedari hakikat bahawa kita perlu menggunakan masa sepenuhnya menjelang peperiksaan ini, maka janganlah kita ikutkan hati ke arah melakukan tindakan yang sia-sia dan bertentangan ajaran agama.

Kita dan Diri Kita

Apa yang kita tahu tentang diri kita? Adakah kita betul-betul mengenali siapa kita? Ramai mengakui, ya tetapi hakikatnya jawapannya ialah tidak! Sedarkah kita bahawa diri kita

Rabu, 13 Ogos 2008

Usaha Kita

Emmm...kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya...begitulah pepatah Melayu sejak berzaman yang diperturunkan kepada kita. Kalau dihayati betul-betul pepatah itu kita tentu mendapat manfaatnya. Apa-apapun...yang penting usaha kita yang berkehendakkan sesuatu mestilah bersifat luar biasa. Kalau setakat acuh tak acuh atau melepas batuk di tangga sahaja baik jangan lakukan kerja atau jangan ambil tanggungjawab yang dihulur. Walau bagaimanapun, kita mesti sentiasa memastikan usaha yang kita lakukan membuahkan hasil yang memberangsangkan dan memenuhi impian kita. Jangan kerap hampakan harapan orang lain. Amanah yang diberikan merupakan satu kepercayaan yang tinggi diberikan oleh mereka kepada kita. Jadi, balas kepercayaan itu dengan sesuatu yang bermakna. Keputusan mestilah cemerlang dan membanggakan.
Bagaimana?
Hah...usaha yang dibuat mestilah mengikut perancangan yang teliti. Jika tidak habislah....Biar penat tetapi berbaloi... Rancang dahulu apa yang kita hendak lakukan. Rancang semuanya. Rancang rangka kerja, rancang jadual kerja, rancang tenaga kerja. Jika selesai menyusun perancangan itu dengan rapi maka lakukan kerja tersebut mengikut aturan yang sudah dibuat. Jangan cari jalan pintas untuk cepat siapkan kerja. Bahaya!
Kerja mestilah dilakukan secara berkumpulan. Walaupun banyak orang banyak ragam, tetapi jika semua bersikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing pasti kerjanya berkualiti dan dapat disiapkan dalam tempoh yang dirancang. Jadi, carilah rakan kerja yang betul-betul dapat membentuk kumpulan yang satu aliran, satu sefahaman. Oleh itu, kenali rakan anda...biar ramai kawan tetapi rakan yang betul-betul sefahaman sukar dicari.
Jadi, berusahalah kerana usaha itu tangga kejayaan....Jumpa lagi!!

Ahad, 10 Ogos 2008

Kisah 10 anak katak

Pada suatu hari, ada 10 anak katak riuh rendah berbincang tentang hebatnya sebuah menara yang baru siap dipasang di kampung mereka. Mereka saling puji memuji. Tidak kurang juga mengeji dan memperlekeh. Bagaimanapun dalam riuh rendah suara itu ada suara yang mencadangkan mereka menguji kemampuan diri dengan memanjat menara itu. Bila ditanya kepada rakan-rakan semua bersetuju. Lalu keesokkan hari selurun warga kata Kampung Sentosa berkerumun sepanjang tebing sungai hingga ke kaki menara. Masing-masing sibuk bercakap-cakap soal perlumbaan tersebut. Ada yang memuji, ada yang bersetuju, ada yang memberi motivasi, ada yang mengeji dan ada yang mencemuh.
Bagaimanapun 10 anak katak tidak mempedulikan semua cakap-cakap orang. Mereka sudah bersedia di garis permulaan di tebing Sungai Bahagia. Sebaik wisel ditiup, mereka terus melompat ke arus sungai yang berlari-lari anak. Masing-masing berusaha mengatasi rakan-rakan yang lain dengan gaya tersendiri.
Sesampai di tebing seberang, mereka terus memulakan misi memanjat tiang menara pemancar. Mereka mengerah seluruh kederat untuk memanjat tiang besi setinggi bangunan empat tingkat. Sampai sahaja jarak 10 kaki pertama seekor anak katak jatuh. Semua penonton di bawah terkejut. Ada yang mencemuh. Ada yang membantu. Sembilan lagi anak katak meneruskan perlumbaan mereka. Semakin tinggi mereka naik semakin anyak kudrat yang digunakan. Masuk jarak 15 kaki tiga ekor anak kata jatuh bedebut ke tanah. Ramai mengeleng-negelengkan kepala. Ada yang melaung meminta mereka turun. Ada yang kata itu kerja sia-sia. Ada yang turut memuji dan menyuruh terus berusaha. Enam ekor anak katak tatap meneruskan pejuangan mereka. Nasib masih tidak menyebelahi tiga lagi anak kata yang baru menceceah jarak 35 kaki. Tiga lagi anak katak meneruskan perjuangan. Masing-masing cuba sedaya upaya mendaki. Bagaimanapun 5 meter terakhir dua akan katak lagi tewas. Ketika itu semua penonton merayu sekor lagi anak katak turun dan membatalkan sahaja niatnya menawan puncak menara. Anak katak itu meneruskan pendakiannya. Dia kuatkan semangat. Dia nyalakan tekad. Dia tingkatkan kudrat. Akhirnya di berada dipuncak.
Moralnya :
Jika kita ingin berjaya dan meraih apa yang kita inginkan kita mestilah membutakan mata dan menulikan telinga. Cakap-cakap orang dan suasana sekitar banyak mempengaruhi pencapaian dan kelakuan kita. Jadi, sesekali jangan biarkan keadaan itu mempengaruhi tetapi biar diri kita membina pengaruh ke atas orang lain.

Saat Genting?

Kita semua dianugerahkan oleh Tuhan hanya 24 jam sehari. Tidak lebih dan tidak juga kurang. Semua orang mendapat jumlah masa yang sama. Tidak kira siapa. Tidak kira pangkat. Tidak kira rupa. Bagaimanapun menjelang hari-hari terakhir menghadapi peperiksaan (terutama yang penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia dan lain-lain) atau menyiapkan tugasan yang diberikan, kita selalu berapa masa yang ada itu terlalu sedikit.
Kenapa?
Hal ini disebabkan kita bukanlah seorang pengurus masa yang efektif dan berkesan. Kita pengguna masa yang kurang mementingkan penggunaan masa yang efektif. Kita hanya tahu guna mengikut selera kita sahaja. Bila sudah tersepit baru kita rasa tidak tentu arah. Kata orang tua-tua sudah terhantuk baru tengadah.
Oleh itu, sedarlah bahawa setiap saat itu cukup bermakna untuk hidup kita. Rancanglah penggunaan masa dengan efektif dan berkesan. Biarlah lambat asal selamat. Orang tua-tua juga menggelarkan bahawa masa itu emas. Jadi, rebutlah emas yang ada dan sayangilah emas itu umpama menatang minyak yang penuh.

Khamis, 7 Ogos 2008

Cinta

Allah SWT Berfirman:
"Ketika Aku menciptakan seorang wanita,ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun,harus cukup lembut untuk memberikan kenyamanan." "Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirkan anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya." "Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah,dan mengasuh keluarganya dengan penderita an dan kelelahan tanpa mengeluh." "Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya." "Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya." "Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahwa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang2 menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada disisi suaminya tanpa ragu." "Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bila2pun ia perlukan." "Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya,susuk yang ia tampilkan, atau bagaimana ia menyisir rambutnya.
Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat dimana cinta itu ada..."

Ahad, 3 Ogos 2008

Bila nasi menjadi bubur...

Rasa menyesal dan bersalah tidak berguna lagi setelah nasi menjadi bubur. Semuanya musnah walau dalam sekelip mata sahaja. Semuanya hancur gara-gara kecuaian dan kelalian sendiri. Hendak salahkan siapa? Hendak menangis keluar air mata darahpun tidak berguna lagi.
Wahai rakan-rakan pembaca sekalian, sedarlah bahawa sesuatu yang terjadi itu bergantung kepada sebab dan akibatnya...atau qada dan qadar sesuatu peristiwa. Oleh itu, rancanglah sebelum berbuat sesuatu yang boleh memusnahkan. Jangalah terlalu mengikut kata hati sahaja. Kalau perlu mintalah pandangan daripada pelbagai pihak yang berkeupayaan memberi pandangan dan cadangan. Biar lambat asalkan selamat!

Jumaat, 1 Ogos 2008

Sedih?

Perbincangan Baru

Mengapa murung? Mengapa sedih? Mengapa berduka lara? Anda ada masalah? Boleh kita berkongsi masalah anda? Saya suka mendengar tentang masalah anda. Kalau sudi ceritakanlah. Kalau percayakan saya kita boleh berkongsi bersama. Saya sedia membantu anda. Mungkin ada yang saya boleh tolong anda.
Sebenarnya, hidup kita tidak lekang daripada masalah. Saya juga ada masalah. Jadi, kita berada dalam keadaan terpaksa atau mesti berhadapan dengan masalah yang silih berganti datang dalam hidup kita.
Bagaimanapun, kita mesti tahu bagaimana untuk menghadapinya. Semua masalah ada jalan penyelesaiannya. Kita mesti bijak menanganinya. Silap langkah kita akan berhadapan dengan masalah lebih besar dan mingkin menjadi semakin rumit dan parah.
Jadi, bersedialah menyelesaikannya sekarang. Berkongsilah dengan seseorang jika anda berasa tidak mampu menanggungnya seorang diri. Carilah orang yang boleh dipercayai. Hati-hati....mungkin ada juga yang cuba-cuba mengambil kesempatan daripada keadaan anda sekarang. Ada ramai yang bersifat dan bersikap demikian. Hindari mereka jika anda mengenali mereka. Jangan sesekali terperangkap dengan tipu mulihat mereka.
Sebaiknya, jumpalah kaunselor terlatih. Jika tidak sekurang-kurangnya berkongsilah dengan rakan karib anda atau mungkin saudara mara anda atau mungkin juga dengan ibu atau bapa anda sendiri. Apa salahnya kan? Cuma sekarang anda mesti keluarkan masalah yang ada daripada dalam diri anda. Segeralah cari jalan penyelesaiannya. Kalau sudi anda juga boleh berkongsi dengan saya. Jika anda mempercayai saya.