Khamis, 31 Julai 2008

Hebatkah anda?

Perbincangan Baru


Hebat anda? Anda Hebat? Hebat?! Anda? Semua orang berasa dirinya hebat. Hebat segala-galanya.

Hebatkah anda?


Hebatkah anda? Anda Hebat? Hebat?! Anda?


Semua orang pasti mahu jadi hebat. Hebat bertutur. Hebat berjalan. Hebat buat kerja. Hebat berceramah. Hebat menhasilkan sesuatu. Hebat dalam pelajaran. Hebat dalam kerjaya. Hebat dalam hidup. Hebat segala-galanya!


Betul ke kita ni hebat? Atau ada orang lain lebih hebat daripada kita? Anda tahu kita bukan sesiapapun. Kita hanyalah insan yang dilahirkan dan dibesarkan untuk hidup atas muka bumi milik Tuhan ini dengan seadanya. Cuma perasaan kita sahaja rasa kita hebat. Saya teringat dialog yang dituturkan oleh watak sang ayah dalam filem animasi Kung Fu Panda, "Jika kita mahu jadikannya sesuatu itu istimewa kita hanya perlu fikirkannya sahaja."


Betul ke? Memang betul. Jika kita tidak menganggap sesuatu itu hebat kita tidak rasa bahawa ia sesuatu yang hebat, termasuk diri kita sendiri.


Oleh itu, kita sentiasa ingatkan diri kita bahawa kita seorang yang hebat. Kita kuat. Kita mampu dan ada daya usaha untuk berjaya. Fikirkan dan tetapkan dalam kotak fikiran kita. Pastinya otak kita akan memproses data itu dan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan atau kelakuan. Lihatlah hasilnya nanti. Pasti hebat. Ya, pasti hebat. Cubalah.

Rabu, 30 Julai 2008

Mengapa Tidak Bersemangat?

Belakangan ini terlalu banyak masalah yang berlaku dalam lingkungan hidup kita. Saban hari ada sahaja perkara yang merumitkan hidup. Soal harga minyak naik mendadak. Masalah kekurangan bekalan makanan dunia. Isu pencairan ais di kutub hingga mengakibatkan berlaku peningkatan suhu dan peningkatan paras air laut secara mendadak di seluruh dunia. Bahkan, banyak lagi permasalahan yang saling bersangkutan dengan kita berlaku belakangan ini hingga kita menjadi tidak bermotivasi atau setidaknya motivasi diri kita merosot juga secara mendadak.
Apa harus kita buat? Perlukah kita membiarkan saja keadaan itu berlanjutan begitu sahaja tanpa ditangani? Bolehkah kita selesaikannya sendirian? Atau ada yang sudi membantu atau mereka sebenarnya mahu mengambil kesempatan daripada kesempitan hidup kita saat ini?
Para pembaca yang budiman,
Kita mesti keluar daripada kepompong permasalahan yang ada dengan seberapa segera yang boleh. Jangan biarkan keadaan itu berlanjutan. Kembalikan semula keceriaan dan kebahagiaan hidup kita agar kita dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan cara yang terbaik. Semua orang di sekeliling kita juga pasti akan lebih ceria dan bahagia. Bagaimana?
Kita sebenarnya sudah maklum bahawa hidup kita bergantung kepada ketentuan Maha Esa. Semua yang berlaku berlandaskan Qada dan QadarNya. Jadi, mengapa harus bersedih dan bermuram durja hingga merudumkan semangat kita. Tetapkan pendirian dan patuhlah kepada suruhanNya. Kita pasti bahagia dan selamat. Setiap saat ingat kepadaNya. Biar Dia laksanakan tugasnya dan kita usahakan sesuatu sedaya yang mungkin berlandaskan kudrat yang ada.
Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Mengetahui akan segalanya. Redhalah dengan semua perkara yang berlaku dalam hidup kita. Bagaimanapun kita mesti teruskan usaha tanpa jemu. Kalau sebelum ini kita hanya gunakan sekali ganda sahaja tenaga yang ada...sekarang lipat gandakan lagi usaha agar lebih bertenaga. Memang kita hanya manusia biasa tetapi kita boleh berjaya dengan berusaha secara luar biasa. Dia sudah menjanjikannya. Dia akan berikan sesuatu setimpal dengan usaha kita. Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang kalau tidak dipecahkan ruyungnya. Jadi, kalau kita mahukan sagunya berusahalah....berusahalah...berusahalah hingga berjaya....